Sunday, June 16, 2013

Isu-isu berkaitan nazar

1. Nazar merupakan ibadah yang sudah berusia ribuan tahun. Ibu kepada Maryam pernah bernazar tentang kandungannya. Ini dirakamkan dalam Surah Aali ‘Imran ayat 35:
“(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
2. Ayat-ayat lain berkaitan nazar :
“Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini.” [Maryam ayat 26]
“Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.”
[Al Baqarah : 270]
“Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.” [Al Hajj : 29]
3. Hadith berkaitan:
“Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka taatilah, dan barangsiapa yang bernazar memaksiati Allah maka jangan kamu maksiatinya.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
4. Nazar ada dua jenis.
5. Jenis yang pertama ialah nazar yang mewajibkan diri seseorang untuk bersedeqah atau menyembelih haiwan apabila hasratnya tertunai. Nazar seperti ini ialah makruh dan sebahagian ‘Ulamaa’ berkata haram. Dalil mereka ialah hadith riwayat Muslim di mana Nabi SallAllah ‘alayhi wa sallam melarangnya dan berkata, “Sesungguhnya ia tidak membawa kebaikan, tetapi ia dikeluarkan secara terpaksa dari orang yang bakhil”
6. Nazar jenis kedua ialah nazar untuk melakukan ketaatan seperti solat, puasa, zakat, umrah dan sebagainya. Nazar seperti ini dibolehkan seperti dalam hadith riwayat At Tabari dengan sanad yang sahih dalam tafsir kepada ayat 7 dalam Surah Al Insan, “(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini,” di mana Qataadah mengatakan: “Mereka bernazar untuk mentaati Allah dalam bentuk solat, puasa, zakat, haji, umrah dan dari apa yang difardhukan ke atas mereka lalu Allah menggelar mereka golongan Abrar (yang berbakti dengan ketaatan dan kebajikan).”
7. Memenuhi nazar adalah wajib kecuali nazar dalam kemaksiatan.
8. Yang utama bagi seorang Muslim ialah untuk menjauhi bernazar dengan apa yang tidak mampu dilakukannya.
9. Apabila kita berada dalam keadaan-keadaan tertentu contohnya kita bernazar tanpa menyebut apa yang akan dilakukan jika kehendak tercapai ataupun jika nazar itu bertentangan dengan syarak maka kita hendaklah memberi makan 10 orang miskin. Memberi makan ini ialah kifarah kepada nazar tersebut kerana Nabi SallAllah ‘alayhi wa sallam pernah bersabda: “Kaffarah bagi nazar sama dengan kaffarah bagi sumpah.” (Sahih Muslim). Kaffarah (penghapusan) bagi sumpah diterangkan dalam Surah Al Maa’idah ayat 89: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah dan jagalah (peliharalah) sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.”

21/8/2008

 

No comments:

Post a Comment