Wednesday, June 26, 2013

Adab dan etika telefon

26/9/2008

Ramai orang memiliki telefon. Lebih ramai lagi yang pernah menggunakan telefon. Namun tidak ramai yang tahu tentang adab dan etika menggunakan telefon. Syaikh Bakr Abu Zaid membicarakan isu ini dalam buku kecil karangan beliau iaitu Adab Al Haatif. Di bawah adalah beberapa noktah penting yang ingin dikongsikan dari buku ini:

1. Yang paling penting sekali ialah sebelum membuat panggilan pastikan nombor yang hendak dipanggil adalah nombor yang betul. Jika salah maka ia sekadar akan membangkitkan orang yang sedang tidur,  mengganggu orang yang sakit serta mengacau  orang lain secara sia-sia. Pastikan nombor tersebut ada tertulis di depan mata atau terpahat di memori.
2. Jika sudah tersilap panggil maka mintalah kemaafan. Bagi yang menerima panggilan maka maafkanlah pemanggil yang silap.
3. Jika anda mempunyai keperluan untuk membuat panggilan maka ingatlah bahawa orang yang dipanggil mempunyai pelbagai urusan, keperluan dan ada masa mereka makan, tidur, berehat dan lain-lain. Raikanlah waktu yang sesuai untuk membuat panggilan.
4. Islam menyuruh meminta izin sebagaimana dalam Surah An Nuur 58-59. Nabi sallAllah ‘alayhi wa sallam juga melarang dari kita pulang ke rumah pada waktu malam tanpa memberitahu ahli keluarga. Di antara tujuannya ialah agar tidak menimbulkan gangguan.
5. Orang yang dipanggil punya hak untuk meminta uzur dari melayan panggilan telefon tanpa perlu berbohong. Orang yang memanggil hendaklah menerima dengan lapang dada jika orang yang dipanggil meminta uzur dari bercakap dalam telefon.
6. Apabila menelefon maka telefonlah dengan kadar yang sederhana tanpa berlebih-lebihan dalam menunggu jawapan penerima panggilan sehingga mengganggunya. Seorang wanita pernah datang mengetuk pintu rumah imam Ahmad dengan kuat dan bersangatan. Imam Ahmad lalu keluar dan membantah tindakan perempuan tersebut dan berkata bahawa ketukan tersebut adalah cara ketukan pihak polis.
7. Lihatlah adab para sahabat Nabi yang mengetuk pintu rumah Nabi dengan kuku sebagaimana diriwayatkan oleh Al Bukhari dalam Adab Al Mufrad. Oleh itu, janganlah membunyikan loceng elektronik berulang-ulang kali. Gunakanlah loceng rumah dengan lemah lembut.
a
8.  Buatlah panggilan dengan tempoh yang bersesuaian.
9. Pembuat panggilan hendaklah memberikan salam pada awal dan hujung perbualan. Inilah syiar Islam. Tidak boleh menggunakan istilah seperti Selamat pagi, Hello dan sebagainya.
10.  Tidak boleh bagi pemanggil mendiamkan diri sehinggalah mendengar suara yang dipanggil. Ini adalah bertentangan dengan sunnah kerana pemanggil adalah orang yang meminta izin dan dia hendaklah memberi salam terlebih dahulu.
11. Ada sesetengah pihak yang buruk adabnya yang menelefon sekadar untuk tahu anda ada di sesuatu tempat atau tidak dengan mendiamkan diri setelah menelefon. Ini adalah satu bentuk pengkhianatan dan pemeriksaan yang keji.
12. Jauhilah perangai tidak mahu memperkenalkan diri apabila diminta berbuat demikian apabila telefon tidak dijawab oleh orang yang dikehendaki. Ini adalah tindakan kurang adab, memperkecilkan orang lain dan mengganggu pemikiran ahli rumah lantaran panggilan dari orang yang tak dikenali.
13. Gunakanlah suara yang berpatutan dalam telefon. Menggunakan suara yang tinggi hendaklah dijauhi sebagaimana dalam Surah Luqman ayat 19. Gaya suara seseorang dalam telefon kadangkala menyebabkan hajat si pemanggil tidak dipenuhi orang yang dipanggil.
14. Para wanita hendaklah menjaga suara yang digunakan oleh mereka sebagaimana dalam Al Ahzaab ayat 32.
15. Ikutilah adab dalam telefon sesuai dengan kedudukan yang dipanggil dari segi umurnya, keakrabannya, darjatnya dan keilmuannya yang diikuti amal.
16. Daripada adab juga ialah tidak membuat panggilan ketika rumah berada dalam keadaan hiruk pikuk kerana anak-anak dan lain-lain.
17. Ketika menunggu menjawab telefon maka janganlah meletakkan muzik atau Al Qur’aan sebagai bunyi latarbelakang. Bunyi Al Qur’aan akan menyebabkan waqaf bacaan berlaku pada tempat yang tak diredhai.
18. Pemanggil yang mahu bertanya soalan agama/meminta fatwa juga hendaklah menjaga adab dan bertanya secara ringkas agar orang lain boleh membuat panggilan untuk bertanya soalan. Merakamkan perbualan tanpa izin orang yang diminta fatwanya juga adalah dilarang dan termasuk dalam bentuk pengkhianatan.
19. Menyakiti orang Islam, mengkhianatinya dan mencemar kehormatannya adalah haram. Menyebarkan isi kandungan perbualan telefon juga adalah haram. Al Ghazali menyebut dalam Al Ihyaa’ : Menyebarkan rahsia adalah pengkhianatan dan ia haram jika ia memudaratkan.
20. Adalah haram membuat panggilan untuk menakut-nakutkan orang. Pembuat panggilan sebegini adalah syaithan di kalangan manusia. Berdoalah kepada Allah agar melindungi dari kejahatannya dan agar membalas perbuatannya.
21. Di kalangan manusia ada yang suka berpura-pura mendapat panggilan dari orang kenamaan. Mereka melakukan ini untuk dipandang tinggi oleh manusia. Wahai orang Islam janganlah mengikuti langkah mereka ini.


No comments:

Post a Comment