Sunday, June 16, 2013

Fenomena culas dalam menepati waktu dan janji


Barangkali inilah maksud terjemahan sebuah buku yang saya baru habiskan membacanya baru-baru ini. Buku ini ditulis oleh Dr Muhammad Musa Asy Syariif, seorang kapten pilot di Saudi Airlines yang juga memegang pHD dari Kuliah Da’wah dan Usuuluddin, Universiti Umm Al Quraa. Beliau menghafal keseluruhan Qur’an dan mempunyai ijazah dalam riwayat Hafs dari tariiq Ash Shaatibiyyah.
Pengarang buku Zhaahirah At Tahaawun bi al Mawaa’iid ini membicarakan dalam buku kecil beliau tentang fenomena yang menimpa ramai ummat Islam hatta golongan penda’wah iaitu gagal menepati waktu yang dijanjikan apabila sudah berjanji. Pada bahagian awal buku ini beliau menukilkan ayat Al Qur’aan dari Surah Maryam ayat 54 yang berbunyi:

إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولاً نَّبِيّاً

Ayat ini menceritakan tentang sifat positif terpuji yang terdapat pada Nabi Ismail yang menepati janjinya serta beliau adalah seorang Nabi lagi Rasul.

Dalam buku ini, Imam dan Khaatib Masjid Imam Azh Zhahabiyy di Jeddah ini membicarakan dalil-dalil dari Al Kitab dan As Sunnah tentang menepati masa dan sebab mengapa orang Islam perlu menepati masa. Beliau juga menghuraikan tentang masalah-masalah berkaitan menepati masa dan membawa contoh-contoh tokoh masakini yang sangat menepati masa. Pengarang membawakan kisah-kisah tentang Syaikh Ibn Baaz, Syaikh Ibn ‘Uthaymeen dan Syaikh ‘Ali At Tantaawi yang sangat menghargai masa dan menepati kata.
Pengajaran terbesar dari buku ini ialah kita akan sedar betapa menepati masa itu merupakan suatu perkara yang Islamik dan culas dalam menepati masa dan tidak berasa bersalah tentangnya merupakan fenomena yang menjatuhkan nilai dan kehebatan seseorang individu itu di sisi ramai orang. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk menepati masa.

26 Julai 2008

No comments:

Post a Comment