Friday, July 31, 2015

Daun bidara vs garam vs limau nipis vs kayu kemuning vs kayu koka


Oleh kerana banyak juga unsur pengalaman dalam merawat isu berkaitan jin dan seumpamanya maka terdapat kepelbagaian dan variasi luas dalam penggunaan ramuan dan bahan-bahan tambahan disamping bacaan ruqyah. Daun bidara, garam, limau nipis, kayu kemuning dan kayu koka adalah antara sebahagian bahan yang digunakan ramai peruqyah di Malaysia.

Daun bidara

- Tiada dalil dari Al Quran dan As Sunnah menunjukkan bahawa daun ini berkesan dalam menghalau jin namun terdapat petunjuk dari kaum Salaf dalam penggunaannya untuk menjauhkan jin.
- Harga : percuma atau murah

Garam

-Tiada dalil dari Al Quran dan Sunnah menunjukkan bahawa garam berkesan dalam menghalau jin dan tidak terdapat petunjuk dari kaum Salaf dalam penggunaannya untuk menjauhkan jin. Sebahagian Ulama membolehkannya untuk direnjis berdasarkan pengalaman dan sebahagiannya membid'ahkan amalan ini.
- Harga : percuma atau murah

Limau nipis

-Tiada dalil dari Al Quran dan Sunnah menunjukkan bahawa limau nipis berkesan dalam menghalau jin dan tidak terdapat petunjuk dari kaum Salaf dalam penggunaannya untuk menjauhkan jin.
- Harga : percuma atau murah

Kayu koka

-Tiada dalil dari Al Quran dan Sunnah menunjukkan bahawa kayu ini berkesan dalam menghalau jin dan tidak terdapat petunjuk dari kaum Salaf dalam penggunaannya untuk menjauhkan jin. Asal-usul dan dakwaan berkaitan kayu ini penuh dengan pelbagai dakwaan meragukan.
- Harga : beberapa puluh hingga ratus ringgit

Kayu kemuning

-Tiada dalil dari Al Quran dan Sunnah menunjukkan bahawa kayu ini berkesan dalam menghalau jin dan tidak terdapat petunjuk dari kaum Salaf dalam penggunaannya untuk menjauhkan jin.
- Harga : beberapa puluh hingga ribu ringgit

Oleh kerana daun bidara sahaja yang mempunyai sedikit sandaran dan kosnya sangat murah untuk didapati maka kebanyakan peruqyah shar'iyyah memilih daun ini untuk rawatan.
Sila tambah/kritik...

Friday, July 17, 2015

Perawat dengan ruqyah

Ada beberapa orang perawat di Malaysia yang mengatakan bahawa mereka pernah berguru dengan Syaikh Wahiid Baali semasa di Mesir. Bagaimanakah bentuk perguruan mereka saya tidak pasti. Adakah mereka:
a) Meluangkan 2-3 hari bersama syaikh?
b) Meluangkan masa menghadiri kuliah syaikh selama sebulan atau dua?
c) Menghabiskan masa selama setahun atau bertahun-tahun dengan syaikh?
Saya rasa yang benar ialah (a) atau (b) berkaitan mereka ini. Ada salah seorang di antara mereka yang sangat terkenal dan banyak mucul di TV. Setakat sejam menghabiskan masa menonton kuliah-kuliah dan tulisan-tulisan mereka maka boleh dikatakan bahawa apa yang mereka kata adalah cocok dengan apa yang ditulis oleh Syaikh melainkan dalam 2 perkara. Yang pertama ialah bila dalam bab menghuraikan tentang tanda ahli sihir maka ustaz ini membuang tanda ahli sihir yang pertama iaitu bertanya nama dan nama ibunya. Mengapa ini dibuang? WAllahua'lam. Yang keduanya ialah ustaz ini menggalakkan orang yang mahu merawat agar menyertai berbai'ah menyertai tariqat yang 'betul'. Ini juga tidak mungkin dapat dibayangkan untuk keluar dari mulut syaikh yang merupakan seorang Salafi yang sama sekali bukan pro tariqat kesufian. 2 perkara inilah yang menimbulkan persoalan dalam kepala berkaitan ustaz ini sejak beberapa hari ini.

Ditindih oleh....?

Salah suatu fenomena yang sering dibincangkan di asrama zaman saya sekolah menengah dulu ialah fenomena ditindih atau dihempap. Biasanya ramai kawan-kawan yang mengadu dihempap di asrama sekolah bila mereka tertidur. Adapun saya maka saya hanya pernah merasa dihempap manusia zaman itu. Beberapa tahun lepas barulah saya merasa kali pertama ditindih dalam hidup saya.
Dalam psychiatry maka keadaan ini disebut sebagai sleep paralysis. Keadaan ini biasanya dikaitkan dengan penyakit migraine, obstructive sleep apnoea dan beberapa keadaan lain. Jika keadaan ini berlaku semasa hendak tidur maka dipanggil hypnagogia dan jika sebelum bangun dari tidur maka di panggil hypnapomp. Terdapat pelbagai teori dari saintis tentang mengapa fenomena ini berlaku.
Saya bertanya ustaz tentang apa yang mahu dibuat jika berada dalam keadaan ini. Beliau mengatakan bahawa saya perlu menggenggam tangan dan meniatkan mencederakan atau membunuh jin berkenaan. Oleh kerana mulut kita terasa tak dapat bergerak maka bacalah ayat kursi di dalam hati. Kemudian lama kelamaan kita akan dapat membaca ayat kursi dan perasaan ditindih itu akan hilang.
Fenomena ini adalah sesuatu yang sering jin cuba lakukan kepada para peruqyah menurut ustaz. Maka kita perlu ada bacaan pendinding berbentuk zikir di samping tidak tidur seorang diri selepas meruqyah.
p/s:
Lihat juga tentang incubus

Lagu dan muzik di radio dll


Saya tidak mahu terjun ke dalam perdebatan tentang hukum alat-alat muzik dan seumpamanya. Saya juga tidak mahu berbicara tentang kalam Ulama silam dalam buku-buku fiqh yang menganggap bahawa haram menjual alat muzik. Namun secara umumnya jika kita tidak mahu meninggalkan mendengar muzik maka kita perlu meminimakannya. Kita perlu buat apa sahaja yang terdaya untuk mengurangkan mendengar muzik. Ramai orang sekarang yang siang malam pagi petang mendengar muzik. Pagi-pagi buta lagi muzik menjadi alarm clock mereka dan penutup kehidupan mereka! Maka tidak hairanlah mereka berasa sangat susah untuk melakukan ketaatan yang BASIC kepada Allah seperti solat dalam waktu, berzikir dll. Mendengar muzik yang banyak dipasang di radio dll banyak yang sama ada menghancurkan 'aqidah kita atau melemahkannya. Antara lagu kegemaran sebahagian muda-mudi kita yang sangat berbahaya kepada 'aqidah ialah lagu One Of Us nyanyian Joan Osborne. Tak mungkin lagu ini boleh menjadi zikir pagi dan petang seseorang seperti yang biasa saya saksikan di negara kita jika seseorang itu mempunyai tauhid yang utuh kepada Allah! Jika tidak menghancurkan aqidah pun banyak lagu-lagu yang mengajak kita secara kasar dan halus memuja dosa. Disuruh kita melakukan zina, bergaul bebas dan lain-lain lagi. Laungan-laungan seperti ini apabila disebut pagi dan petang maka sudah tentu akan merosakkan aqidah kita secara perlahan-lahan apabila perkara haram kita anggap ok dan dosa-dosa besar kita pandang enteng. Moga Allah selamatkan kita dari tipudaya iblis dan bala tenteranya!

Ruqyah I

Jika peruqyah itu boleh dikategorikan maka saya termasuk dalam kategori peruqyah amatur yang tidak meruqyah selain diri sendiri dan anak. Namun ini berubah sedikit apabila saya tinggal di Australia. Semasa di Australia saya sering diminta meruqyah beberapa wanita dari Somalia. Rasanya ini mungkin berlaku kerana di Somalia, guru Al Qur'an itu dianggap sebagai peruqyah jua. Biasanya apabila ditimpa sakit (fizikal) maka wanita ini akan datang duduk semeter dari saya dalam keadaan membelakangi saya lalu saya dan 5-6 orang anak wanita ini akan beramai-ramai meruqyah wanita berkenaan. Selepas meruqyah selama beberapa minit maka mereka akan beramai-ramai meludah (tanpa air liur) wanita tersebut. Suasana ini bagi saya agak unik dan tidak biasa saya lihat di Malaysia.
Setelah beberapa tahun meruqyah secara amatur saya mempelajari beberapa perkara berkenaan ruqyah yang tidak saya sedari pada peringkat awal saya melakukan ruqyah.
1. Adalah penting untuk kita membaca dengan niat mahu menyembuhkan. Tidak cukup dengan sekadar membaca Al Qur'an secara gitu-gitu kepada pesakit/anak/isteri dll tanpa niat yang jitu dan fokus kepada penyakit/masalah berkenaan. Sudah tentu ini perlu diiringi perasaan berharap kepada Allah dan lain2.
2. Adalah lebih bagus jika ruqyah itu dibaca kuat dan tidak sekadar kumat-kamit semata-mata walaupun tidak terdapat dalil direct dalam soal ini setahu saya tapi ia dibuktikan oleh pengalaman/tajribah Ulama.
3. Ruqyah kadang-kadang perlu dibaca 10 hingga 40 minit atau lebih dan tak cukup dengan sekadar membaca 2-3 minit dalam banyak kes.
4. Ruqyah perlu diulang berhari-hari, berminggu-minggu dan lebih terkadangnya. Kita perlu sentiasa yakin dan bersemangat untuk meruqyah dan tidak boleh cepat berputus asa apabila 'gagal' membawa kesembuhan.
Sila tambah/kritik dll...

Bacaan-bacaan dan ayat-ayat ruqyah

Antara yang boleh dibaca dalam sesi ruqyah:

1. Istighfar
2. Al Fatihah
3. 3 qul
4. Ayat Kursi
5. Al Baqarah : 1 hingga 5 dan 102 : wattaba'uu ma tatlushayaathin

6. As Saaffaat : 1-10
7. Al Hasyr : 21-24 : law anzalna...
8. Ad Dukhaan : 43-50 : Inna shajaratazzaqqum.. (Dibaca bila ada reaksi. Mengingatkan jin tentang azab neraka)
9. Al A'raaf : 117-122 : wa awhayna ila musa an alqi...
10. Yuunus : 81-82 (Diulang banyak kali. Kisah Musa dan ahli sihir)
11. Al Mu'minuun : 115-118 : Afahasibtum... (boleh bisik di telinga pesakit)
12. Ar Rahman :33-36: Ya ma'sharaljinn... (sering dibaca)
11. Aali 'Imraan :19: Innaddin 'indallah.. (menyeru mereka kepada Islam)
(Tiada urutan tertentu. Dibaca mengikut reaksi pesakit biasanya)

Yang bumiputra?

Nabi saw dalam hijrah ke Madinah telah memilih 'Abdullah bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan. Ini tercatat dalam Sahih Al Bukhari dll. Mengapakah beliau yang dipilih? Adakah kerana dia bumiputera atau Muslim atau seumpamanya? Jawapannya adalah seribu tidak! Dia bukan seorang Islam dan tidak pernah diriwayatkan memeluk Islam hingga akhir hayatnya tapi dialah yang paling layak dan arif dalam urusan menunjuk jalan! Sebab itu Nabi memilih beliau dalam urusan yang begitu getir ini.
Demikianlah dalam urusan kehidupan kita, kita ambil si Ah Chong atau Raju atau Ahmad untuk membaiki rumah, kereta, paip dan lain-lain bukan kerana soal agamanya tapi soal kemahiran, kualiti kerja dan kejujurannya. Ramai orang kita yang buat kerja dengan kualiti yang menghampakan tapi tak malu asyik nak menyebut-nyebut kononnya kita perlu bantu ekonomi orang Islam bla bla bla. Perbaikkanlah kualiti kerjamu nescaya manusia akan datang berbondong-bondong kepadamu wahai para pemberi servis dan kemahiran!

Ahli sihir

Syaikh Wahiid Baali sejak lebih 20 tahun yang lalu telah menyebut dalam kitabnya yang monumental As Sorim Al Battar, 13 tanda yang menunjukkan bahawa seseorang itu adalah ahli sihir. Tanda yang pertama disebut ialah bahawa seseorang itu ketika merawat akan bertanya nama pesakit serta nama ibu pesakit. Tanda pertama ini terdapat pada ramai perawat 'Islami' yang menamakan pusat rawatan mereka sebagai Darul X dan Daarul Y! Ada seorang pesakit ini yang biasa berkunjung ke Daarul X untuk rawatan sihir memberitahu saya bahawa tujuan bertanya nama ibu adalah kerana apabila seseorang ditalqinkan selepas mati akan dibinkan kepada ibu. Masalahnya adalah itu berlaku setelah mati dan riwayat berkenaan talqin pun ada kemushkilan tapi apakah kepentingannya untuk seseorang perawat untuk bertanyakan nama ibu jika dia tidak menggunakan jin? Ini persoalan yang tidak dapat beliau jawab dan saya berharap agar mereka yang selalu mengunjungi Darul X dan Darul Y bertanya diri sendiri akan hal ini dan menjauhi para perawat yang melakukan amalan sedemikian disamping hal-hal yang telah saya kongsikan dahulu berkenaan ahli sihir.
WA.