Sunday, June 12, 2011

Ke Darwin

Setelah begitu lama tidak bergerak lebih dari 30 km dari tempat kediaman akhirnya saya berpeluang berjalan-jalan sambil menambah ilmu di Darwin. Bukan ilmu agama tetapi ilmu sains. Saya menghadiri program anjuran Australian Pain Society. Bukan sebagai penyampai tetapi sebagai pendengar.

Menaiki pesawat syarikat Jetstar memberi perspektif berbeza tentang menaiki kapal terbang. Sungguh tidak selesa perjalanan yang ditempoh selama 3 jam. 10.10 pm dari Adelaide dan tiba pada pukul 0140 pagi. Begitu banyak turbulence dalam perjalanan dan perasaan cuak memang selalu datang. Orang sebelah asik meminum arak. Dia pun cuak jugak kot. Perbualan dia dengan orang sebelah memberi gambaran bahawa dia memiliki rekod jenayah dan pernah dijatuhkan hukuman tertentu oleh mahkamah. Kalau di Malaysia agak sukar kita menaiki kapal terbang bersama dengan orang yang agak pelik dan kasar perangainya tapi di sini golongan  bawahan yang sangat bermasalah juga menaiki kapal terbang. Naik kapal terbang bagi orang di sini bagaikan menaiki bas.

Oleh kerana sudah banyak meminum arak, pramugari di dalam kapal terbang mengatakan bahawa dia hanya boleh memesan arak selepas 35 minit. Dia meminta saya memesankan arak untuk dia. 'Tidak,' kata saya kepadanya.

Pramugari di dalam pesawat ini tidak berpakaian ketat dan sendat seperti dengan MAS. Ada yang berbadan gempal dan memakai seluar seperti jururawat. Seksi bukan suatu ketetapan berpakaian bagi syarikat ini mungkin.

Selepas beberapa jam tidur di hotel saya pun pergi mencari tempat makan halal. Nandos di sini rupanya halal sepenuhnya. Kalau di Adelaide kita perlu sebut nak halal dan baru dia taip dalam sistem. Di sini mudah, tak dibeza-bezakan kerana semuanya halal.

27 darjah Celsius. Memang lega setelah berminggu-minggu mengharungi kedinginan musim luruh dan sejuk akhirnya dapat menikmati panas mentari.

No comments:

Post a Comment