Thursday, August 28, 2025

Dibunuh

 Bila melihat suatu poster di hadapan sebuah kedai berkaitan kes yang sedang tular maka saya teringat bahawa hampir 20 tahun lepas ada seorang pesakit pernah mengaku kepada saya bahawa dia pernah membunuh orang lalu mayat mangsanya itu dimasukkan dalam tong drum berisi simen sekitar kawasan Kepala Batas, PP.


Bila diberi malumat sebegini tentu ada beberapa pertimbangan dalam kepala. Pertimbangan tentang keselamatan diri, undang-undang sivil serta soal hukum menjadi persoalan. Bila dia memberitahu begitu saya langsung tak menulisnya dalam case notes beliau dan sekadar membiarkan cerita itu berlalu begitu sahaja.

Saya fikir bahawa kalau saya melaporkan hal ini kepada pihak berkuasa lama-kelamaan para pesakit akan semakin kurang mahu berterus-terang dengan para doktor dan ini akan memberi kesan negatif menyusahkan para doktor dalam jangka panjang. Dari segi agama kalau tidak silap saya, beliau ada mengatakan telah bertaubat dari dosa berkenaan dan mangsa tidak mempunyai ahli keluarga terdekat. Jadi kalau dia dihukum pun tidak ada keluarga yang akan berpuas hati dengan hukuman tersebut kerana si mati adalah seorang 'nobody' setahu beliau ketika itu. Sehingga hari ini saya tak perasan ada terjumpa dalam mana-mana kitab tentang hukum memaklumkan kepada pihak berkuasa apabila tahu bahawa seseorang ini mengaku pernah membunuh. Kalau ini kes zina dan seumpamanya maka memang jelas saya tidak akan membawa kes ini kepada pihak berkuasa. Tapi kes bunuh bukan dosa yang berbentuk individu malah ia suatu perkara besar yang boleh memberi kesan berpanjangan kepada pelbagai pihak.

Bila dikenang-kenangkan semula saya rasa bahawa saya patut menulis pengakuan beliau di suatu tempat dan di simpan pengakuan ini bersama wasiat saya. Paling tidak agar pihak polis yang mungkin pernah menyiasat kes ini dan tak sekadar menganggap kes ini kes orang lari dari rumah lalu NFA begitu sahaja akan mendapat sedikit 'closure' bila saya mati nanti. Dengan cara ini kes boleh ditutup dengan cara yang baik dan pihak penyiasat tak terbazir waktu dan lain2 untuk menyiasat terus kejadian ini. Apa buktinya si mati tidak mempunyai ahli keluarga terdekat yang masih hidup? Kalau ini benar pun mungkin dia mempunyai kekasih atau kawan-kawan yang akan bersedih hati dan bingung mengenangkan kehilangan beliau. Semoga kita dibimbing ke jalan yang diredhainya.

Friday, August 8, 2025

Pemandu Lori

 Semalam ada kemalangan teruk menyebabkan ambil masa 2 jam untuk bergerak dari Ipoh ke Kuala Kangsar sahaja. Sebuah lori dengan kandungannya terbalik di tengah-tengah jalan lalu menghalang sepenuhnya laluan menuju utara. Kawasan berkenaan sebenarnya memang kawasan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sebagai kawasan wajib dipandu perlahan pun. Berpuluh-puluh kereta tersadai di tepi jalan dari Ipoh sampai ke Kuala Kangsar mungkin kerana overheating. Saya tak pernah menyaksikan suasana sebegini di Malaysia. Hampir setiap hari ada lori kemalangan di negara kita. Kalau tak melanggar kenderaan lain pun ada tiang Touch n Go atau lampu isyarat yang akan dilanggar lori setiap hari di Malaysia.


Bila melihat cara ramai pemandu lori di Malaysia kadang-kadang saya terkenang ucapan seorang penceramah terkenal di Arab Saudi yang pernah menyebut tentang seorang pemandu lori di Arab Saudi yang pernah bercerita kepadanya bahawa dia akan mendengar bacaan Al Qur'aan dalam lorinya setiap hari dan setelah beberapa tahun dia akhirnya berjaya menghafal keseluruhan Al Qur'aan hanya dari mendengar bacaan di dalam lori.

Mungkin agak keterlaluan kalau kita nak harap para pemandu kita boleh sampai hafal keseluruhan Al Qur'aan semasa memandu tapi bayangkan kalau seseorang pemandu itu meluangkan 5 minit sahaja setiap hari untuk mendengar Al Qur'aan semasa memandu bagaimana agaknya perubahan yang akan berlaku kepada para pemandu lori di Malaysia dari aspek penyelenggaraan kenderaan sehinggalah pemanduan! Berapa banyak agaknya kemalangan yang boleh dikurangkan setiap hari?!

(Kiv saya akan menulis tentang perbezaan memandu di Malaysia dan Australia suatu hari nanti.)

Monday, August 4, 2025

Zalim

 Para pemimpin negara-negara Timur Tengah rata-ratanya mereka yang zalim tapi teruk-teruk Israel maka tidak seteruk para pemimpin negara utama Arab. Teruk-teruk Netanyahu maka dia zalim ke atas orang Kristian dan Islam. Dia tak menzalimi orang Yahudi sendiri macam para pemimpin Arab! Dalam Israel ada demokrasi yang subur dan para rakyat bebas berdemonstrasi dan mengkritik para pemimpin.


Para pemimpin negara Arab menahan orang dengan bebas tanpa bicara bertahun-tahun, menghilangkan mereka, menyiksa serta membunuh sesiapa yang mengancam kedudukan mereka. Berapa ramai yang disiksa dalam penjara di Mesir dan Arab Saudi?! Kalau pemimpin Saudi dan Mesir nak menegur Israel maka jangan haraplah kerana mereka tidak ada 'higher moral ground' apatah lagi apa-apa bentuk 'locus standi' untuk layak membuat apa-apa teguran. Mereka bagaikan binatang buas yang langsung tak ada hubungan dengan wahyu melainkan 'make up' yang dipaparkan untuk mengurangkan kritikan orang ramai kepada mereka! Nak berperang atau bergaduh dengan USA atau Israel? Toksah haraplah dengan kedudukan mereka sekarang ini! Selagi mereka tak berubah maka keadaan di Timur Tengah sangat sukar untuk dipulihkan. Kita sama sekali tak boleh berharap kepada para pemimpin Arab kerana mereka jauh lebih zalim berbanding para pemimpin Israel! Ini realitinya!