1. Nazar merupakan ibadah yang sudah berusia ribuan
tahun. Ibu kepada Maryam pernah bernazar tentang kandungannya. Ini
dirakamkan dalam Surah Aali ‘Imran ayat 35:
“(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: Tuhanku!
Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku
sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat
kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah
Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
2. Ayat-ayat lain berkaitan nazar :
“Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati
dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang
manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana
(Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak
akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari
ini.” [Maryam ayat 26]
“Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan
(dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah
mengetahuiNya dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada
sesiapa pun yang dapat menolongnya.”
[Al Baqarah : 270]
“Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan
hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya dan hendaklah mereka
tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.” [Al Hajj : 29]
3. Hadith berkaitan:
“Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah,
maka taatilah, dan barangsiapa yang bernazar memaksiati Allah maka
jangan kamu maksiatinya.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
4. Nazar ada dua jenis.
5. Jenis yang pertama ialah nazar yang mewajibkan
diri seseorang untuk bersedeqah atau menyembelih haiwan apabila
hasratnya tertunai. Nazar seperti ini ialah makruh dan sebahagian
‘Ulamaa’ berkata haram. Dalil mereka ialah hadith riwayat Muslim di mana
Nabi SallAllah ‘alayhi wa sallam melarangnya dan berkata, “Sesungguhnya
ia tidak membawa kebaikan, tetapi ia dikeluarkan secara terpaksa dari
orang yang bakhil”
6. Nazar jenis kedua ialah nazar untuk melakukan
ketaatan seperti solat, puasa, zakat, umrah dan sebagainya. Nazar
seperti ini dibolehkan seperti dalam hadith riwayat At Tabari dengan
sanad yang sahih dalam tafsir kepada ayat 7 dalam Surah Al Insan,
“(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan
nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka
takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini,” di
mana Qataadah mengatakan: “Mereka bernazar untuk mentaati Allah dalam
bentuk solat, puasa, zakat, haji, umrah dan dari apa yang difardhukan ke
atas mereka lalu Allah menggelar mereka golongan Abrar (yang berbakti
dengan ketaatan dan kebajikan).”
7. Memenuhi nazar adalah wajib kecuali nazar dalam kemaksiatan.
8. Yang utama bagi seorang Muslim ialah untuk menjauhi bernazar dengan apa yang tidak mampu dilakukannya.
9. Apabila kita berada dalam keadaan-keadaan
tertentu contohnya kita bernazar tanpa menyebut apa yang akan dilakukan
jika kehendak tercapai ataupun jika nazar itu bertentangan dengan syarak
maka kita hendaklah memberi makan 10 orang miskin. Memberi makan ini
ialah kifarah kepada nazar tersebut kerana Nabi SallAllah ‘alayhi wa
sallam pernah bersabda: “Kaffarah bagi nazar sama dengan kaffarah bagi
sumpah.” (Sahih Muslim). Kaffarah (penghapusan) bagi sumpah diterangkan
dalam Surah Al Maa’idah ayat 89: “Kamu
tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak
disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya
dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.
Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari
jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga
kamu atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba.
Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut),
maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda
penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah dan jagalah (peliharalah)
sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya
(hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.”
21/8/2008
No comments:
Post a Comment