Sunday, June 16, 2013

Program Halaqah TV9

Saya menonton sedikit rancangan Halaqah di TV9 semalam. Tajuknya tentang ‘Cinta.’ Ada seorang ahli panel yang sangat mantap penyampaiannya namun sering silap dalam penisbahan. Apa yang perlu dinisbahkan kepada Nabi dinisbahkan kepada tokoh lain dan apa yang bukan kata-kata Nabi malangnya dinisbahkan kepada Nabi. Contoh-contoh kesilapan tersebut tidak sempat saya catat maklumlah asyik menonton kekalahan Lee Chong Wei.
Satu kesilapan yang saya masih ingat ialah beliau mengatakan bahawa kata-kata di bawah ini adalah doa yang diajar Rabi’atul ‘Adawiyah padahal ini berasal dari Nabi sendiri:
وَأَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَحُبَّ عَمَلٍ يُقَرِّبُنِى إِلَى حُبِّكَ

“Aku meminta kepadaMu kecintaanMu, cinta orang yang mencintaiMu dan cinta kepada amalan yang mendekatkan aku kepada cintaMu. “
(Riwayat Ahmad, Hakim dan lain-lain)

Kesalahan yang sama yang ramai orang telah sedar juga ialah iklan tentang kemalangan jalan raya yang banyak diletakkan di masjid-masjid di mana kata-kata Nabi disandarkan kepada Hukama’ padahal hadith itu memang jelas sahih dan terkenal pula namun barangkali kerana mendapat nasihat dari golongan yang kurang maklumat maka kesilapan itu dilakukan. Hadith tersebut berbunyi:

لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ
“Bagi setiap penyakit ada ubat”
(Riwayat Muslim)

WAllahua’lam bissowab.

Ogos 2008

 

Itu pun Nabi ada ajar ke ?

Demikian komen pengacara sebuah program masakan kepada Ustaz Wan Sohor Banu Leman apabila Ustaz memberitahu bahawa Nabi pernah menyuruh agar kita menutup makanan dan minuman pada waktu malam. Begitulah syumulnya ajaran Islam dari sebesar-besar perkara sehinggalah sekecil-kecil perkara pun ada disebut. Hadith tersebut berbunyi:

عَنْ جَابِرٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَغْلِقُوا الْأَبْوَابَ بِاللَّيْلِ وَأَطْفِئُوا السُّرُجَ وَأَوْكُوا الْأَسْقِيَةَ وَخَمِّرُوا الطَّعَامَ وَالشَّرَابَ وَلَوْ أَنْ تَعْرُضُوا عَلَيْهِ بِعُودٍ ( حم ) 15057 قال الشيخ شعيب الأرناؤوط : إسناده صحيح على شرط مسلم

” Tutuplah pintu-pintu, padamkanlah lampu-lampu, tutuplah kendi-kendi air, tutuplah makanan dan minuman meskipun hanya dengan setangkai kayu yang kau letakkan melintang di atasnya.” (Riwayat Ahmad. Syaikh Syu’aib mengatakan sanadnya sahih)

Apakah bagi agama yang selengkap ini perlu kepada penambahan para ustaz, kiyai dan tuan-tuan guru? Tidak sekali-kali !


18/8/2008

Suami pergi mana ?

Beberapa minggu lepas saya dan isteri pergi membeli-belah di pasaraya Giant, Tambun. Apabila hampir tiba waktu solat Jumaat saya pun pergi ke masjid berdekatan. Isteri saya duduk menunggu dalam pasaraya. Tidak lama kemudian datang seorang perempuan dan anaknya duduk berdekatan dengan isteri saya. Setelah bersembang sedikit dan wanita itu mengatakan bahawa dia datang dari Chemor (beberapa minit dari Tambun) akhirnya wanita itu bertanya, “Datang sini seorang ke ?” Isteri saya menjawab,”Tak. Datang dengan suami.” “Suami pergi mana ?” dia melanjutkan kata. “Solat jumaat,” jawab isteri saya. Tidak semena-mena wanita ini mukanya berubah dan terus tidak bertanya apa-apa soalan lagi. Suami wanita ini dari awal hingga akhir waktu orang ramai bersolat Jumaat sibuk membeli-belah dalam pasaraya.



gi

Solat Jumaat merupakan suatu kewajipan penting setiap lelaki Muslim. Namun malangnya tiada siapa yang mahu mengambil langkah tegas terhadap lelaki Muslim yang meninggalkan solat Jumaat walaupun ini berlaku secara meluas. Penguatkuasa yang sibuk sangat dengan operasi khalwat sehingga menyerang rumah wanita berkahwin yang sedang menyusu sepatutnya menumpukan tentang memberi ingatan dan nasihat bagi mereka yang tidak solat. Pelbagai mekanisme boleh dilakukan untuk mengembalikan masyarakat kepada rukun Islam yang sangat asas ini namun perkara ini bagai tidak diendahkan oleh pihak agama berwajib. Mungkin menegur orang yang tidak solat tidak semenarik mencari dan mengintip orang yang berkhalwat ?


18/8/2008


Isu-isu berkaitan nazar

1. Nazar merupakan ibadah yang sudah berusia ribuan tahun. Ibu kepada Maryam pernah bernazar tentang kandungannya. Ini dirakamkan dalam Surah Aali ‘Imran ayat 35:
“(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
2. Ayat-ayat lain berkaitan nazar :
“Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini.” [Maryam ayat 26]
“Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.”
[Al Baqarah : 270]
“Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.” [Al Hajj : 29]
3. Hadith berkaitan:
“Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka taatilah, dan barangsiapa yang bernazar memaksiati Allah maka jangan kamu maksiatinya.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
4. Nazar ada dua jenis.
5. Jenis yang pertama ialah nazar yang mewajibkan diri seseorang untuk bersedeqah atau menyembelih haiwan apabila hasratnya tertunai. Nazar seperti ini ialah makruh dan sebahagian ‘Ulamaa’ berkata haram. Dalil mereka ialah hadith riwayat Muslim di mana Nabi SallAllah ‘alayhi wa sallam melarangnya dan berkata, “Sesungguhnya ia tidak membawa kebaikan, tetapi ia dikeluarkan secara terpaksa dari orang yang bakhil”
6. Nazar jenis kedua ialah nazar untuk melakukan ketaatan seperti solat, puasa, zakat, umrah dan sebagainya. Nazar seperti ini dibolehkan seperti dalam hadith riwayat At Tabari dengan sanad yang sahih dalam tafsir kepada ayat 7 dalam Surah Al Insan, “(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini,” di mana Qataadah mengatakan: “Mereka bernazar untuk mentaati Allah dalam bentuk solat, puasa, zakat, haji, umrah dan dari apa yang difardhukan ke atas mereka lalu Allah menggelar mereka golongan Abrar (yang berbakti dengan ketaatan dan kebajikan).”
7. Memenuhi nazar adalah wajib kecuali nazar dalam kemaksiatan.
8. Yang utama bagi seorang Muslim ialah untuk menjauhi bernazar dengan apa yang tidak mampu dilakukannya.
9. Apabila kita berada dalam keadaan-keadaan tertentu contohnya kita bernazar tanpa menyebut apa yang akan dilakukan jika kehendak tercapai ataupun jika nazar itu bertentangan dengan syarak maka kita hendaklah memberi makan 10 orang miskin. Memberi makan ini ialah kifarah kepada nazar tersebut kerana Nabi SallAllah ‘alayhi wa sallam pernah bersabda: “Kaffarah bagi nazar sama dengan kaffarah bagi sumpah.” (Sahih Muslim). Kaffarah (penghapusan) bagi sumpah diterangkan dalam Surah Al Maa’idah ayat 89: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah dan jagalah (peliharalah) sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.”

21/8/2008

 

Fenomena culas dalam menepati waktu dan janji


Barangkali inilah maksud terjemahan sebuah buku yang saya baru habiskan membacanya baru-baru ini. Buku ini ditulis oleh Dr Muhammad Musa Asy Syariif, seorang kapten pilot di Saudi Airlines yang juga memegang pHD dari Kuliah Da’wah dan Usuuluddin, Universiti Umm Al Quraa. Beliau menghafal keseluruhan Qur’an dan mempunyai ijazah dalam riwayat Hafs dari tariiq Ash Shaatibiyyah.
Pengarang buku Zhaahirah At Tahaawun bi al Mawaa’iid ini membicarakan dalam buku kecil beliau tentang fenomena yang menimpa ramai ummat Islam hatta golongan penda’wah iaitu gagal menepati waktu yang dijanjikan apabila sudah berjanji. Pada bahagian awal buku ini beliau menukilkan ayat Al Qur’aan dari Surah Maryam ayat 54 yang berbunyi:

إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولاً نَّبِيّاً

Ayat ini menceritakan tentang sifat positif terpuji yang terdapat pada Nabi Ismail yang menepati janjinya serta beliau adalah seorang Nabi lagi Rasul.

Dalam buku ini, Imam dan Khaatib Masjid Imam Azh Zhahabiyy di Jeddah ini membicarakan dalil-dalil dari Al Kitab dan As Sunnah tentang menepati masa dan sebab mengapa orang Islam perlu menepati masa. Beliau juga menghuraikan tentang masalah-masalah berkaitan menepati masa dan membawa contoh-contoh tokoh masakini yang sangat menepati masa. Pengarang membawakan kisah-kisah tentang Syaikh Ibn Baaz, Syaikh Ibn ‘Uthaymeen dan Syaikh ‘Ali At Tantaawi yang sangat menghargai masa dan menepati kata.
Pengajaran terbesar dari buku ini ialah kita akan sedar betapa menepati masa itu merupakan suatu perkara yang Islamik dan culas dalam menepati masa dan tidak berasa bersalah tentangnya merupakan fenomena yang menjatuhkan nilai dan kehebatan seseorang individu itu di sisi ramai orang. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk menepati masa.

26 Julai 2008

Siaran ulangan

In sya' Allah pada minggu ini saya kan menyiarkan semula tulisan-tulisan lama dari blog yang lama. Semoga bermanfaat.

Thursday, June 6, 2013

Nice links

http://foodiefahoodie.blogspot.com.au/2012/04/hadeeth-prophetic-method-of-uniting.html

http://qaalarasulallah.com/hadith.php?ID=0&Rows=4&SID=11629&head=Sahih%20Bukhari%20[Narrated%20by%20Sa%27id%20bin%20%27Ubaid%20al-Tai%27i%20%D8%B3%D8%B9%D9%8A%D8%AF%20%D8%A8%D9%86%20%D8%B9%D8%A8%D9%8A%D8%AF%20%D8%A7%D9%84%D8%B7%D8%A7%D8%A6%D9%8A]

http://125.164.221.44/hadisonline/hadis9/kitab_open.php?imam=nasai&nohdt=806&page=33

http://en.islamway.net/article/12413