Tuesday, October 14, 2014

Kisah Sean

Keluarga beliau berasal dari Ireland. Beliau membesar di kawasan Barossa Valley dan bersekolah di Gawler, North Adelaide. Beliau baru 6 bulan memeluk Islam. Asalnya beliau beragama Katolik. Beliau pernah bekerja di sebuah pusat penyembelihan di Murray Bridge dan pernah berkawan dengan beberapa orang Islam berketurunan Albania semasa zaman sekolah. Beliau memberitahu bahawa kawan-kawannya tidak meminum arak. Setelah membaca sebuah pamplet di masjid Wandana beliau membuat keputusan untuk memeluk Islam.

Beliau bertanya kepada syaikh dari Universiti Imam di Riyadh tentang sama ada beliau perlu menukar nama dan syaikh menjawab tidak perlu. Ini adalah antara persoalan yang sering melanda orang-orang yang baru masuk Islam. Bila ada orang yang baru memeluk Islam maka akan ada ramai ustaz-ustaz serta lebai-lebai yang akan memberi pelbagai 'fatwa' karut kepada saudara baru tersebut. Pelbagai hadith palsu juga akan diajarkan kepada saudara baru tersebut.

Saya ingin menasihati orang-orang yang bertemu dengan seorang saudara baru agar sangat berhati-hati dalam percakapan. Jangan nyatakan sesuatu kecuali kalau anda 100% yakin akan perkara tersebut dan anda telah mengkaji dalilnya! Jangan mengeluarkan petua halal dan haram sesuka hati hanya berdasarkan pendapat ustaz dari Jabatan agama itu dan ini yang tidak pernah mengkaji sesuatu isu secara mendalam dan hanya bertaqlid buta kepada gurunya juga.

Monday, January 13, 2014

Mencari rumah sewa di Ipoh dan kawasan sekitarnya?


Mungkin boleh baca post-post berkenaan di:

Ipoh



Pemergian Cikgu Aziz


Hari Sabtu malam, tanggal 11 Januari 2014 saya dan adik ipar bertandang ke rumah beliau. Beliau mula-mula mengidap penyakit kanser di bahagian usus (rectosigmoid) dan kemudian beliau menjalani pembedahan dan kemoterapi pada tahun 2010. Setelah beberapa lama akhirnya kanser berkenaan pergi ke paru-paru dan akhirnya ke tulang beliau. Bahu kanan beliau nampak membengkak teruk. Beliau tidak dapat bercakap dengan jelas lagi dan beliau nampak sangat cekung dan tidak bermaya. Isteri beliau memaklumkan bahawa beliau tidak punya selera makan lagi dan sentiasa dalam keadaan tidur. Petang semalam saya dimaklumkan bahawa beliau sudah pulang ke rahmatullah. Semoga Allah mengampuni beliau dan menempati beliau bersama kaum Salihin. Amin.


Wednesday, June 26, 2013

Adab dan etika telefon

26/9/2008

Ramai orang memiliki telefon. Lebih ramai lagi yang pernah menggunakan telefon. Namun tidak ramai yang tahu tentang adab dan etika menggunakan telefon. Syaikh Bakr Abu Zaid membicarakan isu ini dalam buku kecil karangan beliau iaitu Adab Al Haatif. Di bawah adalah beberapa noktah penting yang ingin dikongsikan dari buku ini:

1. Yang paling penting sekali ialah sebelum membuat panggilan pastikan nombor yang hendak dipanggil adalah nombor yang betul. Jika salah maka ia sekadar akan membangkitkan orang yang sedang tidur,  mengganggu orang yang sakit serta mengacau  orang lain secara sia-sia. Pastikan nombor tersebut ada tertulis di depan mata atau terpahat di memori.
2. Jika sudah tersilap panggil maka mintalah kemaafan. Bagi yang menerima panggilan maka maafkanlah pemanggil yang silap.
3. Jika anda mempunyai keperluan untuk membuat panggilan maka ingatlah bahawa orang yang dipanggil mempunyai pelbagai urusan, keperluan dan ada masa mereka makan, tidur, berehat dan lain-lain. Raikanlah waktu yang sesuai untuk membuat panggilan.
4. Islam menyuruh meminta izin sebagaimana dalam Surah An Nuur 58-59. Nabi sallAllah ‘alayhi wa sallam juga melarang dari kita pulang ke rumah pada waktu malam tanpa memberitahu ahli keluarga. Di antara tujuannya ialah agar tidak menimbulkan gangguan.
5. Orang yang dipanggil punya hak untuk meminta uzur dari melayan panggilan telefon tanpa perlu berbohong. Orang yang memanggil hendaklah menerima dengan lapang dada jika orang yang dipanggil meminta uzur dari bercakap dalam telefon.
6. Apabila menelefon maka telefonlah dengan kadar yang sederhana tanpa berlebih-lebihan dalam menunggu jawapan penerima panggilan sehingga mengganggunya. Seorang wanita pernah datang mengetuk pintu rumah imam Ahmad dengan kuat dan bersangatan. Imam Ahmad lalu keluar dan membantah tindakan perempuan tersebut dan berkata bahawa ketukan tersebut adalah cara ketukan pihak polis.
7. Lihatlah adab para sahabat Nabi yang mengetuk pintu rumah Nabi dengan kuku sebagaimana diriwayatkan oleh Al Bukhari dalam Adab Al Mufrad. Oleh itu, janganlah membunyikan loceng elektronik berulang-ulang kali. Gunakanlah loceng rumah dengan lemah lembut.
a
8.  Buatlah panggilan dengan tempoh yang bersesuaian.
9. Pembuat panggilan hendaklah memberikan salam pada awal dan hujung perbualan. Inilah syiar Islam. Tidak boleh menggunakan istilah seperti Selamat pagi, Hello dan sebagainya.
10.  Tidak boleh bagi pemanggil mendiamkan diri sehinggalah mendengar suara yang dipanggil. Ini adalah bertentangan dengan sunnah kerana pemanggil adalah orang yang meminta izin dan dia hendaklah memberi salam terlebih dahulu.
11. Ada sesetengah pihak yang buruk adabnya yang menelefon sekadar untuk tahu anda ada di sesuatu tempat atau tidak dengan mendiamkan diri setelah menelefon. Ini adalah satu bentuk pengkhianatan dan pemeriksaan yang keji.
12. Jauhilah perangai tidak mahu memperkenalkan diri apabila diminta berbuat demikian apabila telefon tidak dijawab oleh orang yang dikehendaki. Ini adalah tindakan kurang adab, memperkecilkan orang lain dan mengganggu pemikiran ahli rumah lantaran panggilan dari orang yang tak dikenali.
13. Gunakanlah suara yang berpatutan dalam telefon. Menggunakan suara yang tinggi hendaklah dijauhi sebagaimana dalam Surah Luqman ayat 19. Gaya suara seseorang dalam telefon kadangkala menyebabkan hajat si pemanggil tidak dipenuhi orang yang dipanggil.
14. Para wanita hendaklah menjaga suara yang digunakan oleh mereka sebagaimana dalam Al Ahzaab ayat 32.
15. Ikutilah adab dalam telefon sesuai dengan kedudukan yang dipanggil dari segi umurnya, keakrabannya, darjatnya dan keilmuannya yang diikuti amal.
16. Daripada adab juga ialah tidak membuat panggilan ketika rumah berada dalam keadaan hiruk pikuk kerana anak-anak dan lain-lain.
17. Ketika menunggu menjawab telefon maka janganlah meletakkan muzik atau Al Qur’aan sebagai bunyi latarbelakang. Bunyi Al Qur’aan akan menyebabkan waqaf bacaan berlaku pada tempat yang tak diredhai.
18. Pemanggil yang mahu bertanya soalan agama/meminta fatwa juga hendaklah menjaga adab dan bertanya secara ringkas agar orang lain boleh membuat panggilan untuk bertanya soalan. Merakamkan perbualan tanpa izin orang yang diminta fatwanya juga adalah dilarang dan termasuk dalam bentuk pengkhianatan.
19. Menyakiti orang Islam, mengkhianatinya dan mencemar kehormatannya adalah haram. Menyebarkan isi kandungan perbualan telefon juga adalah haram. Al Ghazali menyebut dalam Al Ihyaa’ : Menyebarkan rahsia adalah pengkhianatan dan ia haram jika ia memudaratkan.
20. Adalah haram membuat panggilan untuk menakut-nakutkan orang. Pembuat panggilan sebegini adalah syaithan di kalangan manusia. Berdoalah kepada Allah agar melindungi dari kejahatannya dan agar membalas perbuatannya.
21. Di kalangan manusia ada yang suka berpura-pura mendapat panggilan dari orang kenamaan. Mereka melakukan ini untuk dipandang tinggi oleh manusia. Wahai orang Islam janganlah mengikuti langkah mereka ini.


Sunday, June 16, 2013

Melayu perlu belajar dari India

Saya baru balik dari solat Jumaat di sebuah masjid bernama Masjid Hanafi di Taiping. Saya tidak setuju dengan banyak kandungan khutbah yang disampaikan oleh Khatib tersebut. Tidak setuju kerana banyak hadith palsu yang disampaikan dalam khutbah tersebut. Khatib juga mendakwa bahawa semua ahli kubur di Ma’la, Makkah dan Baqii’ di Madinah adalah ahli syurga. Semua penghuni kubur di Ma’la dan Baqii’ terlepas dari azab kubur kata beliau.

Namun apa yang saya mahu puji ialah penguasaan umum khatib terhadap material khutbah adalah sangat baik. Beliau berkhutbah separuhnya dalam bahasa Melayu dan separuh dalam bahasa Urdu. Beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan besar yang mengubah ayat-ayat Al Qur’aan walaupun tidak menggunakan teks. Banyak masjid-masjid lain yang dikuasai oleh kaum India yang bertaraf begini walaupun mereka barangkali tidak didokong oleh masyarakat yang majoriti seperti kaum Melayu. Persoalannya ialah mengapa masjid-masjid Melayu kita masih mundur dari segi pengisian dan penyampaian khutbah ? Di mana silapnya ? Jabatan dan Majlis agamakah yang tidak buat kerja atau Mufti mahupun Menteri yang alpa ? Semua jabatan-jabatan kerajaan prestasi mereka boleh dikatakan telah meningkat. Namun bila kita tengok masjid maka masjid masih didominasi para imam dan mu’azzhin yang buta agama dan jahil tentang dunia. Sampai bila ?

8/8/2008

Bukan 6666


Di antara salah faham yang banyak disebarkan oleh para penceramah agama ialah bahawa jumlah ayat Al Qur’an adalah sebanyak 6666 ayat. Semalam pun ketika kuliah di surau  rumah ada seorang ustaz menyebut jumlah ini. Kita tidak pasti pendapat siapa sebenarnya penjumlahan ini.
Namun semua orang yang pernah membaca pendapat para ‘Ulama’ yang berkeahlian dalam bidang ini akan tahu bahawa nombor ini tidak tersenarai dalam kitab-kitab para ‘Ulamaa’ Tajwid, Qiraat dan sebagainya.
Pendapat para ‘Ulama’ Madinah, Mekah, Sham, Kufah dan Basrah tentang jumlah ayat dalam Al Qur’aan adalah seperti berikut:
  • 6210
  • 6214
  • 6210
  • 6219
  • 6226
  • 6236
  • 6204
Walaupun terdapat beberapa riwayat dari tokoh-tokoh besar ini namun langsung tidak terdapat kiraan 6666. Pernahkah anda cuba mengira jumlah ayat Al Qur’an rasm ‘Uthmaniyy di rumah dengan kalkulator ? Berapa yang anda dapat?

15 Ogos 2008